KALAU LAWATI TOLONG SIGN GUEST BOOK YE

14 January 2010

HARI INI BERLAKU GERHANA MATAHARI



Fenomena ciptaan Allah yang menarik iaitu gerhana separa akan berlaku di Malaysia pada hari ini 15 Jan 2010 pada pukul 3.01 pm dan dijangka berakhir pukul 5.00 pm.

Ini bermakna gerhana matahari ini akan berlaku selepas solat Jumaat.

Hari ini aku dijemput oleh Jabatan Mufti Negeri Perak untuk mengimami solat sunat Gerhana di Meru, Ipoh.. Jom kita solat sunat Gerhana Matahari.

PANDUAN RINGKAS SOLAT GERHANA MATAHARI & KHUTBAHNYA

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Cara & Bilangan Rakaat

Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;

Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyam yang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana). Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang. Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat). Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.

Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat. Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.

Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.

Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)

Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana.

1. Niat & Takbiratul Ihram.

2. Membaca doa iftitah.

3. Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)

4. Membaca surah al-Fatihah.

5. Membaca mana-mana surah dalam qiyam pertama.

6. Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih.

7. Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan mana-mana surah.

8. Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih.

9. Iktidal.

10. Sujud (pertama) dan membaca tasbih.

11. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).

12. Sujud (kedua) dan membaca tasbih.

13. Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)

1. Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.

2. Membaca mana-mana surah.

3. Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih.

4. Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca mana-mana surah.

5. Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih.

6. Iktidal.

7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih.

8. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).

9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih.

10. Membaca tasyahhud akhir.

11. Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.

No comments: